" Gantunglah azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Wednesday, November 7, 2012

Tajuk 9 : Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu


Tajuk 9


Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu
·         Kaedah Natural / Semula Jadi
·         Kaedah Tatabahasa Terjemahan
·         Kaedah Ajuk Hafaz
·         Kaedah Linguistik
·         Kaedah Kod-Kognitif
·         Kaedah Bahasa Komuniti
·         Kaedah Oral-Aural


Sinopsis
Kaedah ialah satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur dan sistematik. Ia juga merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan berkesinambungan yang perlu dituruti dengan saksama bagi mencapai objektif pengajaran. Kaedah pengajaran membolehkan guru-guru mengajarkan bahasa mengikut cara yang betul lagi terancang. Kajian-kajian yang telah dilakukan sebelum ini menjelaskan bahawa pengajaran bahasa akan lebih berkesan apabila guru mampu menggunakan kaedah-kaedah yang telah disarankan  dalam bidang pengajaran bahasa. Pelbagai kaedah diketengahkan sebagai alternatif kepada guru. Terpulanglah kepada mereka untuk menentukan dan menggunakan kaedah yang paling berkesan dalam pengajaran. Walaupun pedagogi tidak menentukan potensi  kaedah-kaedah tertentu, namun kepakaran guru menggunakannya boleh menjadikan sesuatu sesi pengajaran itu menarik, bermakna dan menghiburkan. Berikut diperlihatkan secara ringkas beberapa kaedah yang kerap digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Hasil Pembelajaran
2.2       Mengkaji konsep dan pelaksanaan Kaedah Natural / Semula Jadi, Kaedah Tatabahasa Terjemahan, Kaedah Ajuk Hafaz, Kaedah Linguistik, Kaedah Kod-Kognitif, Kaedah Bahasa Komuniti, dan Kaedah Oral-Aural.

3.4       Mengaplikasi kemahiran menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam aktiviti pengajaran mikro.

9.1       Kaedah Natural

Latar belakang
       Diasaskan oleh Tracy Terell, 1977
       Tokoh-tokoh natural yang lain  ialah Gouin, Montaigne dan   L. Sauveur
       Terell dan Stephen Krashen telah menerbitkan buku The Natural Approach 1978.
  • Kaedah semula jadi dianggap  sebagai  kaedah tradisi dalam pengajaran bahasa.
Ciri-ciri:
          Berasaskan kepada teori pembelajaran bahasa yang menganggap bahawa bahasa lebih mudah dikuasai secara semula jadi
          Komunikasi sebagai  fungsi utama  berbahasa dan pengajaran bahasa  lebih berpusatkan   keupayaan pengajaran  komunikatif
          Menekankan makna dan perbendaharaan kata  dalam pengajaran kerana  bahasa dilihat sebagai alat untuk menghubungkan  makna dan mesej
          Penguasaan bahasa berlaku apabila  pendengar  memahami mesej dalam bahasa sasaran yang dipelajari
Prinsip:
       Arahan sama dengan tahap penguasan bahasa
       Mengajar perkataan dan ayat  harian
       Kemahiran komunikasi diajar berperingkat-peringkat
       Tatabahasa diajar dengan pendekatan induktif
       Pelajaran baru diperkenalkan secara lisan
       Objek dan gambar diguna untuk kosa kata maujud dan penyataan idea untuk kosa kata abstrak
       Teks turut digunakan untuk kemahiran  mendengar dan bertutur
       Sebutan dan tatabahasa yang betul turut ditekankan.

Kaedah Natural (Semula Jadi) dalam Pengajaran Bahasa
       Pengajaran dimulakan  dengan soalan-soalan  yang berhubung dengan objek dan gambar
       Perkataan-perkataan baharu  diterangkan dengan menggunakan  perkataan-perkataan yang telah  diketahui  oleh murid
       Tidak menggunakan  bahasa  ibunda (dalam pembelajaran bahasa kedua) dan  tidak menggunakan  kaedah terjemahan
       Cara pembelajaran menyamai  pembelajaran bahasa pertama
       P &P  dilaksanakan secara tersusun dan berperingkat bermula dengan  kemahiran lisan,  kemudian bertutur dan seterusnya  membaca dan menulis.

Latihan
Sediakan  satu  aktiviti  P&P  Bahasa dengan menggunakan  Kaedah Natural   / Semula jadi

9.2       Kaedah Tatabahasa Terjemahan
       Kaedah Tatabahasa Terjemahan merupakan kaedah klasik  yang dirancang untuk kemahiran menulis  bukan kemahiran bertutur
        Kaedah Tatabahasa Terjemahan mementingkan aspek  ejaan, penulisan dan tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
       Kaedah Tatabahasa Terjemahan tidak  memetingkan  P&P bahasa secara  aktif  dan tidak mementingkan  aspek fonetik

Tujuan Tatabahasa Terjemahan
          Membolehkan murid memahami tatabahasa sesuatu bahasa
          Melatih murid menulis menggunakan bahasa yang  gramatis
          Membolehkan murid menterjemahkan bahasa asing  ke bahasa ibunda, dan sebaliknya
          Melengkapkan murid dengan kosa kata yang luas dalam penulisan

Cara Mengajar:
            Murid diperkenalkan kepada peraturan tatabahasa terlebih dahulu. Guru memberi penerangan kepada murid tentang peraturan ini kemudian memberikan contoh-contoh. Peraturan ini perlu dihafaz supaya tidak berlaku kesilapan.
            Kemudian, murid diberi senarai kosa kata yang perlu dihafaz. Dalam pembelajaran bahasa kedua, senarai kosa kata ini dipasangkan dengan makna dalam bahasa ibunda. Murid diminta membuat ayat-ayat dengan menggunakan senarai kosa kata itu berdasarkan peraturan tatabahasa yang telah dipelajari.

Latihan:
Sediakan satu contoh aktiviti pengajaran bahasa dengan menggunakan Kaedah Tatabahasa  Terjemahan.

9.3       Kaedah  Ajuk Hafaz

Pengenalan
       Mula diguna  oleh tentera Amerika pada perang dunia kedua
       Berkesan kerana  dorongan  yang kuat dan latihan yang intensif

Konsep
          Pengajaran melalui demonstrasi dan latih tubi
          Pembelajaran secara  mengajuk  atau menghafaz sebutan kata dan ayat yang tepat seperti penutur jati bahasa yang dipelajari
Ciri-ciri:
       tatabahasa diajar  secara  menghafaz ayat-ayat asas melalui ajukan
       makna diberi dalam ungkapan biasa dalam bahasa ibunda
       pelajar  tidak dikehendaki menterjemah kata demi kata
       selepas menguasai  ayat  dasar,  murid digalakkan menggunakan bahasa yang dipelajari  dalam perbualan dan komunikasi harian supaya sebutan dan tatabahasa dapat dipraktik

Cara Mengajar:
Tatabahasa diajar secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan. Maknanya diberi dalam ungkapan biasa dalam bahasa ibunda. Murid tidak perlu menterjemah perkataan demi perkataan. Apabila semua ayat dasar sudah dipelajari, murid akan membaca deskripsi bahasa sasaran itu dalam bahasa ibundanya. Contoh,  diberi dalam bahasa sasaran dengan persamaannya dalam bahasa ibunda. Kemudian dia terus mendengar lagi ayat-ayat  daripada pertuturan  yang menyambungkan ayat-ayat asas tadi bagi latihan mendengar.  Akhirnya, dia  berlatih dalam  dialog dengan memakai ayat dasar dan gabungan bahagian-bahagiannya.
            Guru terpaksa menjalankan beberapa ikhtiar untuk mencapai maksud ini. Beliau hendaklah menyediakan hanya latihan dalam pertuturan, misalnya latihan bertutur, karangan-karangan lisan. Latihan cara-cara menyebut sesuatu perkataan, menyebutnya dengan betul tiap-tiap bunyi dalam bahasa sasaran dan tahu menggunakannya dalam bentuk-bentuk ayat yang betul.
            Guru perlu tahu bahawa kejelasan dalam menyampaikan pelajaran amat penting. Sesuatu  yang jelas seperti sebutan yang terang dan nyata akan memberi tanggapan yang betul kepada pelajar. Satu tanggapan yang baik pula akan melahirkan satu penguasaan habit bahasa yang baik dan sempurna.

Latihan:
Sediakan satu contoh aktiviti pengajaran bahasa dengan menggunakan Kaedah Ajuk Hafaz.

9.4       Kaedah Linguistik
Pengenalan
       Dianggap sebagai kaedah mengajar bahasa  yang moden dan saintifik

Konsep
       Kaedah pengajaran yang membandingkan dua bahasa, iaitu antara bahasa yang dipelajari dengan bahasa yang telah diketahui oleh murid sama ada bahasa itu bahasa ibunda mereka ataupun bahasa-bahasa lain..
       Tumpuan kepada bentuk dan fungsi bahasa di samping aspek bunyi, ayat, makna dll.
Mementingkan pertuturan dan membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui oleh murid.

CirI-ciri
       Mendahulukan bentuk daripada makna
       Memberi pertimbangan kepada pengetahuan fonetik
   Mendahulukan bentuk-bentuk ayat yang ada  dalam bahasa ibunda, kemudian diikuti bentuk ayat dalam bahasa yang dipelajari
   Mendahulukan perkataan yang serupa atau hampir sama bunyi daripada kedua-dua bahasa

Text Box: Contoh pelaksanaan P&P : Bentuk Ayat

Subjek
Perbuatan
Predikat / Objek
Saya
pergi
ke pasar
I
go
to market
Dia
makan
betik
He
eats
papaya

Bahasa Inggeris
Bahasa Melayu
tea, school, television
teh, sekolah, televisyen
bicycle, bus, biscuit, notice
basikal, bas, biskut, notis

Tujuan 
  • Membolehkan murid menggunakan bahasa yang telah diketahui untuk mempelajari bahasa baharu  dari segi bunyi

  • Menerangkan bahan-bahan nahu berdasarkan perbandingan antara tatabahasa yang dipelajari dengan bahasa yang telah diketahui.
Cara Mengajar
  • Mendahulukan pengajaran dengan mengajar sebutan bunyi perkataan-perkataan bahasa yang dipelajari yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui
  • Kemudian, melatih tubi bunyi-bunyi bahasa yang dipelajari yang mempunyai perbezaan dengan bahasa yang diketahui
  • Dalam pengajaran perbendaharaan kata, mulakan dengan perbendaharaan kata yang senang, iaitu perbendaharaan kata yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui
  • Dalam pengajaran struktur ayat, struktur-struktur yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui didahulukan
9.5       Kaedah Kod-Kognitif
            Pengenalan
·         Berasaskan pendapat golongan mentalis yang memandang bahasa sebagai satu kreativiti       mental.
·         Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kaedah ini menekankan bentuk dan makna.
·         Harus mengetahui sistem bahasa yang didasarkan pada hukum-hukum dan norma-norma          tertentu dalam ilmu tatabahasa sebelum mempelajari sesuatu bahasa.
Ciri-ciri
·        Perkara yang diberi perhatian ialah bacaan dan tulisan, manakala lisan tidak ditekankan sangat
·         Aspek yang menjadi tumpuan utama ialah sintaksis dan diikuti oleh morfologi dan fonologi
·  Pembelajaran tatabahasa diterapkan secara langsung dan dilakukan melalui pendekatan deduktif.  Murid mesti mempunyai pengetahuan tentang tatabahasa yang hendak dipelajari itu.
·         Menggalakkan murid menggunakan sebanyak mungkin kemampuan kreatif
·     Makna amat dipentingkan.  Oleh sebab itu pengertian dan huraian dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran bahasa itu mestilah diwujudkan
·   Dalam menghuraikan bahasa, kaedah ini menggunakan aplikasi tatabahasa transformasi-generatif
9.6       Kaedah Bahasa Komuniti
            Pengenalan
  • Diasaskan oleh Charles A. Curran dan rakan-rakannya. Curran seorang pakar dalam bidang kaunseling dan salah seorang profesor bidang psikologi di Universiti Layola, Chicago
  • Disebut juga sebagai Community Language Learning (CLL)
  • Teknik psikologi dalam kaunseling telah digunakan oleh Curran dalam pengajaran bahasa
  • Teknik ini menganggap murid sebagai manusia yang mempunyai emosi dan perasaan, di samping pengetahuan linguistik dan kemahiran tingkah laku

Protokol hari pertama kelas CLL  oleh Dieter Stroinigs
  • Tegur sapa yang tidak formal dan pengenalan dibuat
  • Guru membuat satu kenyataan tentang matlamat dan garis panduan kursus
  • Satu sesi perbualan dalam bahasa asing berlaku
       -    Satu bulatan dibentuk agar setiap pelajar ada kontak mata dengan pelajar yang   
            lain. Semua murid mudah mencapai alat rangkaian pita dan mikrofon
      -     seorang pelajar memulakan perbualan dalam bahasa ibundanya dengan seorang
            murid lain
      -     Guru berdiri di belakang murid mengucapkan bahasa asing yang maknanya serupa  
            dengan ucapan bahasa ibunda tadi
      -     Murid mengulangi ucapan dan merakamkannya  dalam alat rakaman
      -     Setiap murid mempunyai peluang untuk membentuk dan merakam beberapa mesej
      -     Pita rakaman dimainkan semula untuk beberapa ketika
      -     Setiap murid mengulangi makna bahasa asing yang didengarnya.  Hal ini                          membantu menyegarkan ingatan murid yang lain
·         Murid digalakkan untuk meluahkan perasaan dan pengalaman mereka secara jujur
dan ikhlas
·         Berdasarkan bahan rakaman, guru memilih ayat untuk ditulis di papan tulis dan
menekankan aspek-aspek tatabahasa, ejaan, ataupun huruf besar
·         Murid digalakkan untuk menyoal berdasarkan aspek-aspek bahasa
·         Murid digalakkan untuk menyalin ayat-ayat daripada papan tulis.  Catatkan
makna dan kegunaannya.
Perkara ini yang menjadi teks untuk membolehkan mereka belajar di rumah

Ciri-ciri  
  • Dalam CLL, murid menjadi ahli dalam satu komuniti
  • Belajar melalui proses berinteraksi dengan rakan-rakan dalam komuniti
  • Pembelajaran dilihat sebagai sesuatu yang dicapai bersama
  • Murid perlu mendengar dengan teliti, bebas mengutarakan maksud atau makna
yang ingin disampaikan, mengulang pengucapan-pengucapan bahasa sasaran
tanpa ragu-ragu, menyokong ahli-ahli lain dalam komuniti, menyatakan perasaan
dalaman dan kekecewaan, kegembiraan dan keseronokan mereka dan menjadi
kaunselor kepada murid lain
  • Guru sebagai kaunselor, bertindak balas secara tenang serta tidak menghukum,
sentiasa memberi sokongan dan membantu klien untuk memahami masalahnya
dengan lebih baik
  • Masalah psikologi yang mungkin  timbul akibat pembelajaran bahasa kedua akan
 diberi perhatian dan layanan.
  • Guru bertanggungjawab mewujudkan satu persekitaran yang selamat, bebas
 menghalakan tenaganya kepada tugas komunikasi dan pembelajaran   

9.7       Kaedah Oral-Aural
Pengenalan
Kaedah oral-aural  atau  kaedah  dengar tutur  ini  merupakan kaedah yang
menggunakan dialog  untuk  dihafaz dan diikuti  secara ajukan.

Ciri-ciri
          Dialog  dianggap realistik  dan dilatih tubi secara berulang kali
          Dialog  dan latih tubi dijalankan  secara  memberi  perhatian  kepada  intonasi
yang betul
          Sebutan  penutur jati  sebagai  objektif kaedah ini
          Pita  rakaman atau alat audio aural digunakan sepenuhnya bagi  mendengar
sebutan yang tepat terutama apabila  guru  bukan  penutur  jati.
          Alat pandang-dengar (APD) turut digunakan supaya  sebutan  lebih realistik
dan bahan  latihan  menyebut  dan  membaca bahan dikawal oleh bahan yang telah
diberi disusun  dengan rapi
          Sistem  tatabahasa diperkenalkan secara induktif
          Kosa kata diajarkan  dalam konteks  yang bermakna
          Aktiviti menulis  dilaksanakan setelah  pelajar menguasai aktiviti bacaan. Bermula
 dengan penulisan  terkawal,  kemudian  diikuti  penulisan  bebas
Tujuan
  • Membolehkan murid memperkembangkan keempat-empat kemahiran bahasa,
iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis, tetapi dalam hal ini mendengar
dan bertutur diberi keutamaan
  • Kemahiran-kemahiran ini kemudiannya dijadikan asas untuk pembelajaran bacaan
 dan tulisan.
  • Membolehkan pelajar memahami kebudayaan asing melalui pengalaman dalam
bahasa.

Tugasan
Perbincangan:
          Apakah tujuan penggunaan kaedah audio-aural ?
          Bagaimana kaedah ini boleh dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran?

No comments:

Post a Comment