" Gantunglah azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Wednesday, November 7, 2012

Tajuk 10 : Pengaplikasian Pelbagai Teknik Pengajaran Bahasa


Tajuk  10


Pengaplikasian Pelbagai Teknik Pengajaran Bahasa
·               Teknik Drama (mimos, arca, improvisasi, main peranan, simulasi, teater bercerita, pentomin, mestamu, dikon)
·               Teknik Permainan Bahasa
·               Teknik Latih Tubi
·               Teknik Bercerita


Sinopsis

Teknik pengajaran bahasa penting untuk memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan teknik pengajaran perlu dilakukan dengan teliti agar pengajaran dan pembelajaran dapat mencapai objektif seperti yang dirancang. Antara teknik yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pengajaran bahasa adalah:
·                     Teknik Drama
·                     Teknik Permainan Bahasa
·                     Teknik Latih Tubi
·                     Teknik Bercerita
·                     Teknik Main Peranan
·                     Teknik Simulasi

Teknik-teknik pengajaran bahasa dapat ‘menghidupkan’ proses pengajaran dan pembelajaran  melalui pelbagai aktiviti. Dengan demikian proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan berkesan.

Hasil Pembelajaran
2.2       Mengkaji konsep dan pelaksanaan kaedah natural, tatabahasa                               terjemahan dan terus.
3.4       Mengaplikasi kemahiran menggunakan bahan sumber pengajaran dan               pembelajaran dalam aktiviti pengajaran mikro.

Teknik Pengajaran Bahasa
  • Teknik adalah satu bentuk  pelaksanaan aktiviti yang direalisasikan di dalam bilik darjah
  • Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.
  • Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.
  • Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah yang digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
  • Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih perlu sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.
 Teknik-teknik Pengajaran Bahasa
  1. Teknik drama
  2. Teknik permainan bahasa
  3. Teknik latih tubi
  4. Teknik bercerita
  5. Teknik main peranan
  6. Teknik simulasi
  7. Teknik inkuiri
  8. Teknik perbahasan
  9. Teknik kuiz
  10. Teknik sumbangsaran
  11. Teknik soal jawab
  12. Teknik perbincangan
  13. Teknik forum
  14. Teknik dialog

Tujuan teknik
    1. Menarik Minat murid
    2. Mengekalkan perhatian
    3. Membangkitkan rasa ingin tahu 

10.1   Teknik Drama

Menurut Sir John Pollock (1958),  drama ialah satu pertunjukan yang berlaku penyatuan antara lakonan dan pengucapan atau persembahan gerak laku, serta melakonkan atau meniru watak-watak. Drama harus mengandungi persoalan, tindakan, perkembangan, dan klimaks serta kesimpulan.
Antara teknik drama ialah mimos,arca, improvisasi, main peranan, simulasi, teater bercerita, pentomin, mestamu, dikon.
  • Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.
  • Tujuan utama adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan sebagainya) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
  • Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.
  • Pelajar bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.
  • Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
  • Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, di samping dapat menyuburkan sahsiah pelajar.

Teknik drama:
 1.        Mimos
2.         Arca
3.         Improvisasi
4.         Main peranan
5.         Simulasi
6.         Teater bercerita
7.         Pentomin
8.         Mestamu
9.         Dikon

1.         Mimos

Lakonan yang mengutamakan gerak laku seluruh anggota dan ekspresi muka bagi menyampaikan idea, cerita, perasaan dan emosi pelakon tanpa dialog.Penonton membuat laporan tentang apa yang dilihatnya dengan menggunakan perkataan yang tepat, ayat yang betul dan idea yang tersusun selepas aktiviti.
Bahan untuk aktiviti :
Kisah pendek, bahagian - bahagian cerita petikan puisi, cerita panjang     yang lengkap.


Contoh aktivti mimos :

            i.          Individu

            Guru menyediakan beberapa situasi untuk dilakonkan oleh pelajar.
            a)         Anda sedang membaca surat khabar semasa angin bertiup                                                  kencang.
            b)         Anda sedang menonton satu perlawanan tinju, bola sepak atau silat.

            ii.         Berpasangan

            Guru memilih dua orang pelajar untuk beraksi. Seorang menjadi pelaku (aksi spontan) 
            dan seorang menjadi bayang dalam cermin (mengikut aksi pelakon)

            a)         Seorang doktor sedang merawat pesakit.
            b)         Anda sedang memujuk seorang rakan yang sedang merajuk.

            2.         Arca

Patung yang menyerupai seseorang
Bayang yang terlihat di dalam cermin atau melalui kanta kamera
Bayang-bayang yang terlihat ketika seseorang itu berkhayal
Gambaran dalam fikiran atau pertalian fikiran yang dihasilkan dalam karya sastera

3.         Improvisasi
Lakonan secara spontan dalam kumpulan kecil yang mengisahkan kejadian , keadaan/situasi dalam kehidupan seharian.

Contoh aktiviti :

            Improvisasi berdasarkan kisah seorang perempuan tua yang tinggal          berdekatan dan selalu dilihat oleh pelajar. Dia selalu duduk di atas kerusi malas di beranda rumahnya. Dia seorang yang kaya tetapi sentiasa bersedih sejak ditinggalkan oleh anak lelaki tunggalnya yang pergi untuk menjadi askar.Anaknya tidak pulang-pulang tetapi perempuan tua itu percaya anaknya akan pulang. Jadi, dia menyimpan semua wang untuk perkahwinan anaknya kelak.

4.         Main peranan
 Murid melakonkan satu watak daripada satu suasana yang dipetik            daripada peristiwa, novel,cerita atau situasi.
 Murid menghayati dan berlagak seperti watak dengan menggunakan       laras bahasa yang sesuai.

            Contoh situasi:
            a)         Situasi menziarahi orang sakit
            b)         Situasi di pejabat sekolah.

           5.         Simulasi
           Mempunyai elemen-elemen dunia sebenar dan dapat dibentuk serta dipersembahkan 
           di dalam bilik darjah.
            Situasi dilakonkan berdasarkan pemerhatian, pengalaman, dan    pembacaan yang   
            dilakukan murid.

            Contoh aktiviti :
            a)         Memandu kapal terbang
            b)         Menerima rawatan di wad kecemasan


           6.         Teater bercerita
          Teknik drama bercorak cerita yang dilakonkan secara spontan hasil gabungan antara      
          pencerita dengan pelakon.
          Guru mengatur kedudukan murid dalam separuh bulatan.
          Pelakon boleh membina dialog sendiri untuk menjadi cerita lebih menarik. Apabila  
          pencerita menyebut nama watak dalam cerita, pelakon yang berminat boleh keluar ke 
          ruang lakon secara spontan sambil  melakonkan aksi yang disebut oleh pencerita.

7.         Pentomin

Lakonan situasi tanpa dialog, skripnya akan dibaca oleh murid lain yang mengiringi lakonan tersebut.
 Memberi peluang kepada murid untuk berlakon tanpa memikirkan masalah untuk menghafal dialog.

            Contoh aktiviti :
            Peristiwa malam kemerdekaan negara

8.         Mestamu

 Murid melagukan sajak atau puisi tanpa muzik.
 Gunakan melodi lagu yang diminati /popular dan gantikan lirik lagu dengan sajak atau puisi yang dipelajari.
 Murid lebih mudah mengingati sajak/puisi.
 Teknik ini sesuai untuk puisi seperti sajak, pantun, syair, gurindam dan
 seloka.

9.         Dikon

 Seorang murid mendeklamasikan sajak atau puisi.
 Seorang atau beberapa orang murid melakonkan aksi yang sesuai dengan  
 maksud sajak/puisi.
 Teknik ini sesuai untuk sajak.


10.2   Teknik Permainan Bahasa
  • Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan.
  • Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperolehi latihan intensif,  pembelajaran bermakna dan sebagai alat diagnostik.
  • Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
  • Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan khususnya. Hala tuju ini diinterpretasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu :
  • merangsang interaksi verbal pelajar
  • menambah kefasihan dan keyakinan
  • menyediakan konteks pembelajaran
  • bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan
  • bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan

10.3    Teknik Latih Tubi
  • Teknik latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.
  • Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran di samping menjamin ketekalannya.
  • Teknik latih tubi sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu
  • Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.
  • Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu.
  • Berasaskan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.
  • Mengikut teknik ini, perhatian akan diberikan kepada 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :
i.              Sebutan (accent)
            Menyebut patah-patah perkataan atau suku kata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi.
ii.             Tatabahasa (grammer)
            Penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum  tatabahasa daripada   semua aspek.
iii.           Perbendaharaan kata (vocabulary)
            Meluaskannya dengan penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut       konteks dalam situasi tertentu.
iv.           Kefasihan (fluency)
            Menggunakan perkataan dan lain-lain dengan cara spontan tanpa            memikirkan apakah maksudnya.
v.             Kefahaman (comprehension)
            Latihan memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar.
·                      Teknik ini dikenali juga dengan teknik menghafaz.
·                      Antara kelemahan teknik  ini ialah ia menghadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid.
·                      Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.
 
10.4   Teknik Bercerita
  • Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
  • Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan.
  • Dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikalangan pelajar.
  • Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata.
  • Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.
  • Langkah-langkah dalam persediaan teknik bercerita ialah :
  • Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
  • Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
  • Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
  • Latih bercerita seolah-olah guru berada dihadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
·         Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
·         Guru boleh bercerita tanpa alat atau dengan menggunakan alat sebagai bahan             bantu.

10.5    Teknik Main Peranan
  • Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting.
  • Pelajar diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan.
  • Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip. Pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada pelajar-pelajar lain supaya mempraktikan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan.
  • Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada pelajar dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.

10.6   Teknik Simulasi
  • Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.
  • Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temu ramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
  • Dalam proses ini pelajar digalakkan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan.
  • Memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah.
  • Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan, membaca dan menulis.
  • Dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.
  Tugasan:
Berdasarkan satu hasil pembelajaran yang dipilih daripada Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, jelaskan bagaimana anda dapat melaksanakan pengajaran dengan menggunakan  satu teknik pengajaran bahasa di bawah;
                          Teknik Drama
                          Teknik Permainan Bahasa
                          Teknik Latih Tubi
                          Teknik Bercerita

No comments:

Post a Comment