" Gantunglah azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Friday, January 3, 2014

JENIS UJIAN DAN PENILAIAN

TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN

PENGENALAN

Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru juga merancang dan membina alat pengukuran, mentadbir ujian, merekod hasil pengukuran, menganalisis maklumat, menilainya, melapor dan menjalankan tindakan susulan, seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan. Ujian ialah satu kaedah atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh maklumat secara sistematik berkaitan sifat atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar
Ismail, 1995). Ujian adalah penting untuk menentukan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu, ia juga berfungsi untuk menempatkan calon dalam kumpulan pelajar
tertentu dan juga mengenal pasti kelemahan-kelemahan mereka. Bab ini akan mendedahkan anda kepada jenis-jenis ujian dan penilaian serta kaedah pengukuran yang biasanya digunakan dalam bidang pendidikan, khususnya berkait dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

OBJEKTIF

Diakhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:
1. menyenarai dan menghuraikan enam jenis ujian;
2. membezakan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria;
3. merumuskan tiga daripada empat jenis penilaian;
4. mengenal pasti dan membezakan penilaian formatif dan penilaian sumatif; dan
5. membicarakan tiga daripada lima kaedah pengukuran.


3.1 JENIS-JENIS UJIAN

Renung sejenak dan berfikir tentang penglibatan anda sebagai seorang guru, pernahkah anda membuat statistik berhubung dengan jenis-jenis ujian yang telah anda lakukan ke atas para pelajar anda setiap tahun. Apakah jenis ujian yang paling kerap anda gunakan. Kenapa? Dalam pengajaran dan pembelajaran, pencapaian sesuatu objektif pengajaran boleh dilihat daripada beberapa aspek, seperti kognitif, afektif dan psikomotor. Jenis-jenis ujian dan penilaian ditunjukkan dalam Rajah 3.1. Kebanyakan ujian yang dijalankan di sekolah tertumpu kepada aspek kognitif. Bagaimanapun, aspek-aspek afektif dan psikomotor juga wajar diberi pertimbangan, untuk menghasilkan pendidikan yang seimbang, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ujian domain kognitif yang lazim digunakan guru dalam bilik darjah ialah kuiz, ujian bulanan atau ujian penggal; tetapi ujian IQ dan ujian kecerdasan lain jarang
digunakan.

Bagi domain afektif pula, kita hanya mendengar pandangan guru terhadap pelajar seperti kurang personaliti yang baik, kurang berminat untuk belajar atau tidak berminat terhadap mata pelajaran tertentu. Pandangan ini dibuat secara tidak formal, iaitu hanya melalui pemerhatian guru berkenaan. Ujian untuk mengukur personaliti, sikap dan nilai amat kurang digunakan. Bagaimanapun, selaras dengan perkembangan dalam bidang pendidikan, kini terdapat alat yang boleh mengukur aspek-aspek afektif, misalnya ujian personaliti Cattel atau Eyenseck. Bagi aspek psikomotor pula, penekanan yang lebih diberikan kepada ujian kecergasan dan pergerakan fizikal, seperti kemampuan berlari, melompat dan lain-lain. Ujian aspek psikomotor ini banyak digunakan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Rajah 3.1: Konsep pengujian dan penilaian Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, ujian dan penilaian merupakan komponen penting, yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh guru. Bagi jenis penilaian pula, ia boleh dibahagikan kepada dua (2) kategori, iaitu Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Jenis penilaian bagi Penilaian Formatif termasuklah Penilaian Rujukan Kriteria (PRK)
dan Penilaian Diagnostik. Jenis penilaian bagi Penilaian Sumatif termasuklah Penilaian Rujukan Norma (PRN), Penilaian Penempatan dan Penilaian Penggredan.
Ujian Pencapaian
Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru untuk mengukur sejauh mana
seseorang pelajar dapat menguasai tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru, yang meliputi
pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Ujian ini juga dapat menentukan kesediaan pelajar
untuk memulakan tajuk baru dan mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar bagi tajuk-tajuk yang diuji. Ujian pencapaian boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis, iaitu ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria. Ujian rujukan norma dibina untuk membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar-pelajar lain, yang biasanya meliputi sukatan pelajaran yang lebih luas, seperti UPSR. Ujian rujukan kriteria dibina untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan beberapa kriteria tertentu, seperti kemahiran menyelesaikan masalah matematik bagi tajuk pecahan.

Pada peringkat bilik darjah/sekolah, ujian pencapaian biasanya dibina oleh guru/kumpulan guru, manakala pada peringkat kebangsaan, ujian ini disediakan oleh institusi tertentu, seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Contoh ujian pada peringkat bilik darjah/sekolah ialah ujian diagnosis, ujian bulanan dan ujian penggal. Contoh ujian pada peringkat kebangsaan pula ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Rajah 3.2 : Ujian pencapaian Anda digalakkan untuk melihat Laman Web Lembaga Peperiksaan Malaysia di alamat berikut ttp://apps.emoe.gov.my/lpm/perkembangan.htm untuk mengetahui sejarah perkembangan peperiksaan di Malaysia. Maklumat ini boleh memberi anda tentang peranan yang dimainkan oleh negara bagi embolehkan satu paiwai yang dapat mengukur dan mengiktiraf pencapaian pelajar.

Ujian Kecerdasan
Ujian kecerdasan, yang juga dikenali sebagai ujian mental, ialah ujian yang digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang individu atau perbezaan antara individu. Ujian ini banyak berubah mengikut perkembangan ilmu psikologi dalam bidang ini.
Ujian Kecerdasan
Pengujian kecerdasan bermula pada tahun 1796. Ujian ini terus berkembang apabila Galton, pada tahun 1969, cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental dan pencapaian intelektual antara pelajar-pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam pengukuran kecerdasan mental termasuklah Wundt, Cattell dan Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah ujian Binet-Simon. Ujian kecerdasan mental bagi kanak-kanak tidak menekankan aspek kebahasaan, tetapi menggunakan gambar rajah, oleh sebab aspek ini belum mereka kuasai. Ujian kecerdasan memberikan bukti, secara tidak langsung, tentang potensi yang ditunjukkan oleh murid-murid berdasarkan prestasi mereka dalam ujian tersebut. Ujian ini kerap digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain ialah Ujian Skala Stanford-Binet, Ujian Weschler dan Ujian Lorge-Thorndike.
Latihan
Nyatakan perbezaan antara tujuan ujian pencapaian dan tujuan ujian kecerdasan.

Ujian Prestasi
Pencapaian pelajar setiap akhir penggal peperiksaan sering menjadi perhatian dan ukuran para ibu bapa dalam menentukan prestasi anak-anak mereka. Bagaimanakah anda rasa paradigma pemikiran ibu bapa ini dapat diubah agar tidak terlalu bersifat pebcapaian akademik semata-mata. Apakah langkah- langkah yang anda rasakan mampu anda lakukan untuk merubah semua ini sama ada dalam jangkamasa pendek atau dalam jangka masa panjang? Ujian prestasi ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan/kecekapan pelajar melakukan sesuatu tugas yang melibatkan manipulasi objek yang kongkrit dan ia memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan. Lazimnya, ujian ini melibatkan penggunaan alat yang konkrit, seperti penggunaan gambar dan radas, yang tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan ujian kertas- pensel. Contohnya ialah ujian pada peringkat prasekolah yang meminta pelajar membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau mereka bentuk geometri daripada blok-blok yang diberikan. Mereka juga boleh diminta untuk menjalankan uji kaji kecil dengan menggunakan radas tertentu. Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat daripada
pelajar. Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa pelajar melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan berkumpulan atau peranan pelajar dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri, pelajar akan menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu, yang dapat menilai prestasi dirinya. Selain menguji pelajar-pelajar biasa, ujian prestasi menggunakan objek adalah sesuai untuk menguji prestasi pelajar-pelajar yang bermasalah pertuturan. Mereka lebih mudah diuji menggunakan objek yang konkrit
daripada menggunakan penulisan atau pertuturan.

Ujian Diagnostik
Pernahkan anda berhadapan dengan pelajar-pelajar yang menghadapi masalah menulis dalam keadaan terbalik? Apakah yang anda faham dengan fenomena yang dihadapi oleh golongan seperti ini?. Bagaimanakah anda lakukan dalam jangkamasa pendek untuk membantu pelajar yang mengalami masalah ini? Ujian diagnostik ialah ujian yang digunakan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga untuk menentukan punca- punca yang menyebabkan masalah itu berlaku. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti, maka tindakan lanjutan untuk mengatasi masalah ini dapat dirancang dan dilaksanakan oleh guru. Ujian diagnostik biasanya ditumpukan kepada tajuk tertentu dan itemnya dibina secara terperinci supaya masalah yang dihadapi setiap pelajar dapat dikenalpasti bagi tajuk tersebut. Contoh ujian diagnostik ialah ujian bacaan untuk mengenal pasti masalah pelajar mengenal dan menyebut huruf. Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventori, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa.
Ciri-ciri ujian diagnostik ialah:
•Ujian ini tidak memberikan skor atau gred kepada pelajar.
•Ujian ini dilaksanakan semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan.
•Laporan ujian dibuat dalam bentuk profil perkara yang belum dikuasai pelajar.
Ujian Bakat
Ujian bakat ialah ujian yang digunakan untuk membuat telahan tentang bakat atau keistimewaan yang dimiliki oleh pelajar. Pada umumnya, ujian bakat ini dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu:
(i) ujian bakat yang berasaskan kepada kajian besar-besaran, misalnya kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota pada tahun 1930 tentang bakat mekanikal seseorang; dan
(ii) ujian bakat yang berasaskan kepada keperluan tertentu.
Pada umumnya, ujian ini bertujuan untuk memberikan maklumat asas untuk membuat telahan tentang prestasi masa depan seseorang pelajar dalam sesuatu bidang. Ujian ini lazimnya digunakan untuk memilih calon yang sesuai dengan tugas tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Contoh ujian bakat ialah Ujian Kemasukan Ke Maktab Perguruan (UKELP). Ujian bakat juga boleh digunakan untuk tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehannya. Berdasarkan kepada keenam-enam jenis ujian ini, manakah yang anda rasakan boleh diaplikasikan dengan kadar yang segera oleh anda di sekolah.
Ujian Personaliti
Personaliti ialah sifat-sifat yang dimiliki oleh individu pelajar, seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi. Ujian personaliti ialah ujian yang digunakan untuk mengukur personaliti pelajar, seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi. Ciri-ciri ini diukur melalui alat-alat psikologi yang berbentuk ujian, inventori, indikator atau indeks. Terdapat
tiga (3) alat yang dapat digunakan guru untuk mengukur personaliti pelajar, iaitu (1) inventori laporan kendiri (apa yang pelajar kata tentang dirinya); (2) inventori sosiomerik (apa yang pelajar lain/orang lain kata tentang seseorang pelajar); dan (3) teknik pemerhatian (apa yang dibuat oleh pelajar dalam situasi tertentu).
Inventori laporan kendiri dan inventori sosiometrik ini boleh ditadbirkan sama ada secara lisan atau secara bertulis menggunakan borang soal selidik atau senarai semak. Contoh senarai semak ialah senarai semak berkaitan dengan masalah yang dihadapi pelajar.
Senarai ini memberikan segala masalah yang mungkin dihadapi pelajar, misalnya, yang menyebabkan dia tidak selesa belajar. Ini mungkin meliputi masalah kewangan, keluarga atau kesihatan. Jawapan seseorang pelajar itu mungkin dapat memberikan punca kepada
tingkah laku/personaliti pelajar yang berubah. Selain inventori-inventori ini, terdapat juga ujian personaliti yang dibina melalui hasil penyelidikan atau berdasarkan teori-teori tertentu,
seperti Keirsey Temperament Test (KTT) dan Edwards Personal Preference Schedule
(EPPS).


Penilaian terperinci ini boleh membantu guru mengenal pasti kelemahan setiap orang pelajarnya bagi
tajuk pengajaran tertentu. Daripada maklumat ini, guru boleh merancang dan melaksanakan
program pemulihan untuk pelajar-pelajarnya atau memperbaiki/mengubah kaedah pengajaran
supaya pelajar mudah menguasai/mencapai sesuatu objektif pengajaran.

Latihan 3.3
Adakah ujian diagnostik boleh dianggapkan sebagai ujian rujukan kriteria?
Berikan sebab-sebabnya.

3.2.3 Perbezaan antara Penilaian Rujukan Norma dan Kriteria

Perbezaan antara Ujian Rujukan Norma (URN) dan Ujian Rujukan Kriteria (URK) ditunjukkan
dalam Jadual 3.1.
Sebagaimana yang kita ketahui, URN bertujuan untuk membandingkan
pencapaian pelajar dengan pelajar/kumpulan pelajar lain; sementara URK bertujuan untuk
membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu. Seterusnya, soalan-soalan URN
mempunyai aras kesukaran yang mudah, sederhana dan susah; sementara soalan-soalan
URK mempunyai aras kesukaran yang hampir sama, bergantung kepada objektif pengajaran.
URN juga digubal untuk menentukan gred pencapaian pelajar; sementara URK tiada
menetapkan sebarang gred, tetapi menyatakan lulus/gagal sahaja. Dari segi cakupan
kandungan, URN terdiri daripada soalan-soalan berbentuk am dan mencakupi sukatan
pelajaran yang luas; sementara URK terdiri daripada soalan-soalan yang lebih mendalam
dan tertumpu kepada tajuk-tajuk tertentu.

Jadual 3.1 : Perbezaan antara Ujian Rujukan Norma dan Ujian Rujukan Kriteria

Perkara
Ujian Rujukan Norma
Ujian Rujukan Kriteria
Konsep
Ujian yang membandingkan
Ujian yang membandingkan pencapaian pelajar
pencapaian pelajar dengan
dengan kriteria tertentu yang telah ditetapkan.
pelajar/kumpulan pelajar lain.
Tujuan
• Membandingkan pencapaian antara
• Menentukan tahap penguasaan sesuatu
pelajar/kumpulan pelajar.
kemahiran yang telah dipelajari mengikut
• Menentukan pencapaian sama
kriteria yang telah ditetapkan.
ada lulus/gagal, lemah/ sederhana/
• Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
cemerlang.
berdasarkan keputusan ujian.
• Memilih pelajar untuk tujuan
pengiktirafan – memberi sijil.
Ciri-ciri
Bermula dengan soalan yang mudah
Soalan yang hampir sama peringkat kesukaran
Soalan
kepada sederhana dan lebih sukar
dengan berpandukan kepada kriteria/objektif
dan mempunyai indeks diskriminasi
pelajaran tertentu.
yang tinggi.
Ciri-ciri
Penentuan gred bagi menentukan
Tiada gred ditetapkan, tetapi memadai dengan
ujian
pencapaian pelajar dalam pelbagai
penyataan lulus/ gagal sahaja.
peringkat.
Cakupan
Meliputi tajuk/kandungan
Tertumpu kepada tajuk-tajuk tertentu yang lebih
kandung
pembelajaran yang lebih luas.
khusus.
Contoh
Peperiksaan akhir penggal, UPSR,
Ujian pendek, tugasan, latihan, soal jawab
ujian
PMR, SPM, STPM
dalam bilik darjah.


Guru sepatutnya memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa tentang tujuan penilaian
formatif, iaitu sebagai ujian diagnostik yang dapat mengesan masalah yang dihadapi pelajar
dalam pembelajaran. Maklumat yang diperoleh seharusnya terus digunakan untuk memperbaiki
proses pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan
penyampaian pengajarannya, manakala pelajar akan mengetahui kelemahan mereka.
Daripada kelemahan ini, guru dan pelajar dapat mengubah kaedah pengajaran dan
pembelajaran, yang akhirnya akan membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka dalam
peperiksaan penggal atau akhir tahun.
Bagi memastikan pelaksanaan penilaian formatif ini berkesan, prosedur berikut perlu diberi
perhatian oleh guru:

1.Menentukan tajuk pengajaran

Guru perlu menentukan tajuk-tajuk pengajaran yang perlu dihabiskan dalam satu tahun
persekolahan. Langkah yang terbaik ialah menyusun tajuk-tajuk ini mengikut peringkat
kesukaran. Sekiranya sesuatu tajuk itu mempunyai cakupan yang luas, maka ia perlu
dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil supaya pelajar-pelajar dapat menguasai semua
tajuk kecil terlebih dahulu, sebelum meneruskan pengajaran ke tajuk lain. Sekurang-
kurangnya, sebelum beralih ke tajuk lain, guru perlu mengadakan ujian formatif untuk
menilai penguasaan pelajar bagi tajuk yang telah diajar.

2.Menentukan aspek dan tahap penguasaan

Guru perlu menentukan aspek-aspek tertentu bagi setiap tajuk pengajaran yang perlu
dikuasai pelajar. Misalnya, pelajar dapat mengenal warna, simbol dan membaca
mengikut keperluan tajuk berkenaan. Setelah aspek-aspek berkenaan ditentukan, maka
guru perlu pula menentukan tahap penguasaan pelajar terhadap aspek-aspek yang
ditentukan itu. Misalnya, apabila 80% hingga 90% pelajar menguasai sesuatu tajuk, ini
menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai tajuk tersebut.

3.Menghubungkaitkan elemen-elemen dalam tajuk

Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam setiap tajuk pengajaran pada
peringkat perlakuan berdasarkan taksonomi objektif pengajaran. Setelah penyusunan
elemen mengikut tahap perlakuan dibuat, guru seterusnya mengaitkan semua elemen
tersebut agar ia saling bertautan dan tidak terpisah.

4.Membina soalan ujian

Selepas menghubungkait elemen-elemen berkenaan, misalnya, ada sepuluh elemen
dalam sesuatu tajuk, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar
3.2.4 Penilaian Formatif
Penilaian formatif ialah penilaian yang dibuat secara berterusan, iaitu
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, untuk menilai keberkesanan
pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap tajuk yang diajar.
Penilaian lazimnya mewujudkan ketegangan di kalangan pelajar, guru atau
ibu bapa, disebabkan penilaian melibatkan perbandingan pencapaian antara
pelajar dan guru. Bagaimanapun, penilaian formatif dapat mengurangkan
ketegangan ini, sebab penilaian ini adalah PRK yang tidak membandingkan
pencapaian pelajar. Contoh ujian formatif ialah soal jawab, latihan yang
diberikan guru dan ujian mingguan.


5.Mencadangkan tindakan susulan

Di samping menilai penguasaan pelajar bagi sesuatu tajuk pengajaran, penilaian formatif
dapat mengesan masalah pembelajaran. Justeru, selepas ujian dibuat, tindakan susulan
perlu dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian ini. Misalnya, jika pelajar-pelajar masih
lemah dalam sesuatu tajuk, sebagai tindakan susulan, guru perlu mengulang semula
tajuk berkenaan, atau mengubah pendekatan pengajaran agar pelajar dapat menguasai
tajuk tersebut.
Sebagai kesimpulannya perlaksanaan penilaian formatif ini dalam dirumuskan melalui Rajah
3.8 di bawah.
Rajah 3.7 : Contoh bentuk-bentuk soalan ujian
Rajah 3.8 : Perlaksanaan penilaian formatif
sekurang-kurangnya satu soalan. Soalan ujian yang sesuai perlu dibina untuk mengukur
penguasaan pelajar terhadap elemen-elemen ini. Antara contoh bentuk-bentuk soalan
ujian yang boleh dilakukan adalah seperti dalam Rajah 3.7 di bawah.


Secara amnya, tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan
pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka. Gred yang diperoleh pelajar boleh
digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian di kalangan pelajar. Penilaian sumatif
juga dapat dijadikan petunjuk, sama ada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran
baru atau tidak. Sebelum memulakan mata pelajaran baru, pelajar dikehendaki menduduki
ujian untuk menentukan sama ada mereka telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan.
Sekiranya mereka sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk
mengambil mata pelajaran baru.
Bagi memastikan keberkesanan penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diberi
penekanan semasa menggubal ujian sumatif seperti dalam Rajah 3.9 di bawah.

Latihan 3.4
Adakah ujian formatif boleh dianggapkan sebagai ujian rujukan kriteria? Berikan
sebab-sebabnya.

Penilaian sumatif ialah penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran (akhir
penggal/akhir tahun), yang bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar.
Berbeza dengan penilaian formatif, yang lebih menumpukan kepada penilaian
penguasaan pelajar dalam sesuatu tajuk, penilaian sumatif bertujuan untuk
menentukan pencapaian pelajar pada akhir penggal persekolahan/akhir tahun,
yang juga dapat menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum. Contoh
penilaian sumatif ialah penilaian pada akhir tahun, peperiksaan percubaan,
UPSR dan PMR.


1.Membentuk Jadual Penentuan Ujian (JPU)
Jadual ini mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan tajuk pengajaran, objektif
pengajaran dan bilangan soalan. Jadual ini juga dapat memastikan kesahan ujian dari
segi cakupan sukatan pelajaran dan objektif pengajaran yang ingin disampaikan.

2.Membina soalan
Soalan-soalan hendaklah dibina berpandukan kepada JPU, dan haruslah menguji objektif
pengajaran yang telah ditetapkan. Ketas soalan perlu mengandungi arahan yang jelas
tentang bilangan soalan yang perlu dijawab.

3.Mengumpul soalan secara sistematik
Soalan perlu dikumpul mengikut bentuknya, misalnya soalan objektif diasingkan daripada
soalan mengisi tempat kosong, atau esei berjawapan pendek. Soalan ini juga boleh
disusun mengikut tajuk atau kesukarannya.
4.Menguji soalan melalui kajian rintis
Mengkaji kesesuaian soalan kepada sampel pelajar dan membaiki soalan-soalan bagi
memastikan ujian mempunyai kesahan yang tinggi. Selain itu, aras kesukaran dan daya
diskriminasi soalan perlu juga dikira.

5.Menyiapkan skema pemarkahan
Skema ini terdiri daripada jawapan kepada soalan ujian dan markahnya. Ia menjadi
panduan semasa memeriksa jawapan, yang dapat menyelaras permarkahan supaya
tidak berlaku bias dalam pemberian markah.
3.2.6 Perbezaan antara Penilaian Formatif dan Sumatif
Perbezaan antara Penilaian Formatif (PF) dan Penilaian Sumatif (PS) ditunjukkan dalam
Jadual 3.2. Sebagaimana yang kita ketahui, PF bertujuan untuk mengesan penguasaan/
kelemahan pelajar bagi tajuk pengajaran tertentu yang dibuat sepanjang proses pengajaran.
PS pula bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada penghujung penggal/akhir tahun
persekolahan. PF boleh dibuat secara formal atau tidak formal; sementara PS pula dibuat
secara formal. Tujuan utama PF ialah untuk mengatasi masalah yang dihadapi pelajar dengan
mengadakan aktiviti pemulihan atau mengubah kaedah/pendekatan pengajaran (mengadakan
aktiviti pengayaan bagi pelajar yang tiada masalah). Tujuan utama PS ialah untuk memberi
gred pencapaian kepada pelajar, menempatkan pelajar ke dalam kumpulan yang sesuai,
memberi pengiktirafan (sijil, hadiah) atau membaiki kurikulum.
________________________________________

KAEDAH PENGUKURAN
Sebagaimana yang telah dijelaskan terlebih awal, pengukuran sesuatu konstruk/
pembolehubah (seperti pencapaian akademik, personaliti, sikap, kemahiran) boleh dibuat
melalui kaedah pemerhatian, lisan, penulisan, pertimbangan profesional (professional
judgement) atau potfolio. Salvia dan Ysseldyke (2004) menjelaskan dengan terperinci tentang
teknik-teknik yang digunakan bagi kaedah yang disebutkan.

1. Kaedah Pemerhatian

Kaedah pemerhatian ialah kaedah pengumpulan maklumat, yang kemudian dijadikan
ukuran, secara memerhati dan merekod apa yang dilakukan oleh seseorang dan orang-
orang lain yang berkenaan serta keadaan di sekelilingnya. Kaedah pemerhatian ini boleh
dibahagikan kepada dua (2) bentuk, iaitu pemerhatian tidak-sistematik dan pemerhatian
sistematik.
Jadual 3.2 : Perbezaan antara Penilaian Formatif dan Sumatif
Perkara
Penilaian Formatif
Penilaian Sumatif
Konsep
Penilaian yang boleh dibuat secara
Penilaian yang dijalankan secara formal
formal/tidak formal untuk mengesan
bagi menentukan pencapaian pelajar di
penguasaan/ kelemahan pelajar bagi
akhir pengajaran, seperti pada hujung
setiap tajuk pengajaran.
penggal/akhir tahun.
Waktu
Sepanjang proses pengajaran dan
Pada akhir penggal atau akhir tahun
penilaian
pembelajaran berlansung.
persekolahan.
Kaedah
Formal: Ujian pensel-kertasTidak
Formal: Ujian pensel-kertas, ujian lisan.
formal: Pemerhatian, soal jawab,
Ditadbir secara berkumpulan
tugasan, latihan.Dibuat secara
individu/kumpulan.
Tujuan
Selepas tahap kemajuan/ penguasaan
Selepas pencapaian pelajar ditentukan
Bagi pelajar ditentukan, tindakan susulan
tempoh persekolahan tertentu, gred
perlu diambil untuk mengatasi
pencapaian diberikan kepada pelajar.
kelemahan pelajar.
Selepas
Mengatasi kelemahan pelajar dengan
Menempatkan murid mengikut
penilaian
mengulang semula topik atau
pencapaian.Memberi pengiktirafan – sijil,
dijalankan
mengadakan pemulihan.
hadiah dan sebagainya.Membaiki
Menjalankan aktiviti pengayaan
kurikulum bagi pelajar yang tiada masalah.
Latihan 3.5
Apakah perkaitan antara ujian sumatif dengan Penilaian Sumatif? Adakah ujian
pencapaian boleh dianggapkan sebagai ujian sumatif? Jelaskan.

•Pemerhatian tidak-sistematik merujuk kepada pemerhatian secara rawak/terbuka,
iaitu yang tidak ditumpukan kepada tingkah laku tertentu. Ia biasanya tidak boleh
diulang dan maklumat yang diperoleh boleh dijadikan panduan untuk pemerhatian
sistematik.
•Bagi pemerhatian sistematik, pemerhati terlebih dahulu menetapkan tingkah laku
yang ingin diperhati sebelum membuat pemerhatian. Pemerhati kemudiannya akan
mengira kekerapan dan lama sesuatu tingkah laku itu berlaku.
•Kaedah pemerhatian mempunyai batasan tersendiri, seperti pentafsiran terhadap
tingkah laku mungkin tidak tepat, pemerhatian memerlukan masa yang panjang
dan wujud kesan pemerhatian itu sendiri kepada orang yang diperhatikan
(expectancy).

2.Kaedah Lisan

Kaedah lisan ialah kaedah pengumpulan maklumat secara lisan dan merekod apa yang
maklumkan oleh individu yang menjadi subjek dan oleh orang-orang lain yang berkenaan
tentangnya . Kaedah lisan ini boleh dibahagikan kepada dua (2) bentuk, iaitu temu bual
dan skala penaksiran (rating scale).

•Temu bual terbuka merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat melalui perbualan
yang tidak tertumpu kepada set soalan tertentu; manakala temu bual berstruktur
cuba mendapatkan maklumat melalui perbualan tertumpu kepada set soalan
tertentu.
•Skala penaksiran merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat dengan
menggunakan satu set soalan yang memerlukan seseorang memberi jawapan
dalam skala tertentu, seperti skala Likert atau anggaran kekerapan.


•Contoh skala Likert ialah respons Sangat Tidak Setuju, Tidak Setuju, Sederhana
Setuju, Setuju dan Sangat Setuju. Contoh anggaran kekerapan ialah respons Tidak
Pernah, Kadang-kadang, Sederhana Kerap, Kerap dan Sangat Kerap.
•Selain berkongsi batasan kaedah pemerhatian, kaedah lisan mempunyai dua
batasan lain, iaitu ingatan menjadi tidak tepat apabila jarak masa adalah lama antara
peristiwa yang berlaku dengan temu bual, dan kedua maklumat yang diberi mungkin
tidak benar.

3.Kaedah Penulisan

Pernahkah anda mengisi borang soal selidik yang diminta oleh kumpulan-
kumpulan tertentu atas tujuan-tujuan tertentu?. Bentuk-bentuk soalan yang
terdapat dalam borang soal selidik tersebut mempunyai beberapa kriteria
tertentu. Sekiranya anda ingin membuat soal selidik berhubung dengan
pencapaian para pelajar anda, apakah objektif utama yang ingin anda lihat?
Kaedah penulisan ialah kaedah pengumpulan maklumat yang biasa digunakan untuk
mendapatkan ukuran bagi sesuatu konstruk. Kaedah ini mengunakan teknik penulisan
sebagai respons kepada satu set soalan ujian atau satu set pernyataan soal selidik.
Respons yang ditulis menjadi rekod kepada maklumat yang diberikan oleh subjek tentang
dirinya atau orang-orang lain yang berkenaan. Kaedah penulisan ini boleh dibahagikan
kepada dua (2) bentuk, iaitu ujian dan soal selidik/inventori.

•Ujian merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat daripada jawapan kepada
satu set soalan untuk mengukur pencapaian tertentu; manakala soal selidik/inventori
adalah teknik mendapatkan maklumat daripada jawapan kepada satu set pernyataan
tertentu.
•Maklumat daripada ujian dapat dibahagikan kepada dua (2) jenis, iaitu kuantitatif
dan kualitatif. Maklumat kuantitatif ialah markah ujian, sementara maklumat kualitatif
ialah bagaimana pelajar mendapat markah tersebut (seperti soalan mana yang
dijawab).
•Maklumat kuantitatif ini boleh ditafsir berasaskan kepada dua rujukan, iaitu pertama,
membandingkan markah pelajar dengan markah pelajar lain (Penilaian Rujukan
Norma) atau, kedua, membandingkannya dengan kriteria tertentu (Penilaian Rujukan
Kriteria).

4.Kaedah Pertimbangan Profesional

Kaedah pertimbangan profesional ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat
ahli/kumpulan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, apabila
orang yang bertanggungjawab untuk menilai, tidak mempunyai kepakaran tersebut.
Kepakaran yang diperlukan mungkin dalam bidang pendengaran, penglihatan, masalah
pembelajaran, pemulihan bacaan dan sebagainya. Contoh-contoh pertimbangan
profesional serta kekuatan dan kelemahan kaedah ini diberikan di bawah.
•Pertimbangan daripada pakar neorolgi perlu dijadikan asas apabila guru ingin
membuat keputusan sama ada seseorang pelajar boleh dikategorikan sebagai
pelajar khas terencat akal.
•Pertimbangan daripada pakar kaunseling kerjaya perlu dijadikan asas apabila guru
ingin membuat keputusan sama ada seseorang pelajar itu sesuai mengikuti sesuatu
aliran pengajian.
•Kaedah ini adalah terbaik sekiranya pakar bidang memberi pertimbangan secara
jujur/profesional, tetapi akan memberi kesan yang buruk sekiranya mereka memberi
pertimbangan yang tidak tepat/tidak jujur.

5.Kaedah Potfolio

Pendekatan baru dalam penilaian ialah pendekatan yang dikatakan kurang objektif, analitik
dan kuantitatif; iaitu ia lebih subjektif, kualitatif dan holistik. Antaranya ialah penilaian potfolio
(portfolio evaluation). Kaedah potfolio ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui
pendapat penilai terhadap satu set hasil kerja pelajar. Potfolio melibatkan pengumpulan
hasil kerja pelajar yang berkait dengan pengetahuan/kemahiran yang ingin dinilai. Ia mula
digunakan untuk menilai kemahiran seni, seperti seni lukis, pemodelan, fotografi dan
seni muzik. Sekarang kaedah ini digunakan untuk menilai pengetahuan/kefahaman,
seperti penulisan, pembacaan dan matematik. Kekuatan dan kelemahan penilaian potfolio
ini diberikan di bawah.
•Penilaian biasanya dibuat bagi objektif pengajaran yang lebih tinggi (analisis, sintesis,
penilaian). Bagaimanapun, ia boleh digunakan untuk menilai pencapaian pada
peringkat yang lebih rendah (pengetahuan, kefahaman, aplikasi), terutama bagi
pelajar khas.
•Penilain ini juga sesuai untuk menilai kecekapan/keberkesanan strategi yang dipilih
dan kemahiran yang diguna untuk menghasilkan sesuatu objek, yang biasanya
merupakan sebuah karya asli (penilaian ini dipanggil juga penilaian autentik).
•Penilaian ini menggalakan kerjasama/kerja berkumpulan antara pelajar dan juga
dengan guru yang bertujuan untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik serta melatih
pelajar untuk berfikir dan membuat refleksi tentang kerja yang mereka lakukan.
•Penilaian ini menjadi tidak sah disebabkan oleh beberapa perkara seperti hasil kerja
yang dikumpul tidak sesuai dengan aspek yang hendak dinilai, hasil kerja tersebut
bukan karya asli pelajar, atau penilainya bukan pakar dalam aspek yang hendak
dinilai.

RUMUSAN

Tajuk ini telah membincangkan tentang jenis ujian dan jenis penilaian. Jenis ujian meliputi
ujian pencapaian, kecerdasan, prestasi, diagnostik, kecekapan, bakat, personaliti, rujukan
norma dan rujukan kriteria. Jenis penilaian pula meliputi Penilaian Rujukan Norma, Penilaian
Rujukan Kriteria, Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Seterusnya, tajuk ini juga
menjelaskan tentang kaedah pengukuran melalui pemerhatian, lisan, penulisan, pertimbangan
profesional dan potfolio. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain Penilaian Sumatif,
Penilaian Formatif yang diadakan sepanjang proses pengajaran adalah amat penting kepada
guru dan juga pelajar.

Penilaian formatif dapat menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar bagi setiap tajuk yang
diajar. Maklumat yang diperoleh daripada penaksiran formal dan tidak formal dapat membantu
guru untuk mengadakan aktiviti/program pemulihan, termasuk mengubah pendekatan/kaedah
pengajaran, untuk membantu pelajar lemah agar mereka terus maju. Bagi pelajar yang berjaya
pula, mereka boleh diberi aktiviti/program pengayaan agar mereka mencapai kejayaan yang
lebih baik/cemerlang. Maklumat daripada Penilaian Formatif juga penting kepada pelajar, kerana
melaluinya pelajar mengetahui kelemahan mereka, dan seterusnya, mereka akan cuba
mengatasi kelemahan ini sendiri.

Latihan 3.6
Berikan satu contoh pertimbangan profesional seseorang guru terhadap
pelajarnya. Jelaskan mengapa tindakan ini dianggapkan sebagai pertimbangan
profesional guru.

GLOSARI
Ujian Pencapaian
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur sejauh mana
seseorang pelajar dapat menguasai tajuk-tajuk yang telah diajar
guru, yang biasanya ujian ini diberikan pada hujung penggal
atau akhir tahun persekolahan.

Ujian Kecerdasan
yang juga dikenali sebagai ujian mental, ialah ujian yang
digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang
individu atau perbezaan antara individu.

Ujian Prestasi
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan/
kecekapan pelajar melakukan sesuatu tugas yang melibatkan
manipulasi objek yang kongkrit dan ia memerlukan para pelajar
membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan.

Ujian Diagnostik
ialah ujian yang digunakan untuk mengenal pasti masalah yang
dihadapi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dan juga untuk menentukan punca-punca yang menyebabkan
masalah itu berlaku.

Ujian Kecekapan
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan atau
kecekapan seseorang pelajar melaksanakan sesuatu tugas.

Ujian Bakat
ialah ujian yang digunakan untuk membuat telahan tentang bakat
atau keistimewaan yang dimiliki oleh seseorang pelajar dan hasil
daripada ujian ini boleh digunakan untuk pelajar memilih bidang
pengajian yang sesuai baginya.

Ujian Personaliti
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur personaliti pelajar,
seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi; yang diukur
melalui alat-alat psikologi yang berbentuk ujian, inventori,
indikator atau indeks.

Ujian Rujukan Norma
ialah ujian yang digunakan untuk membanding pencapaian
seseorang calon/pelajar dengan pencapaian calon/pelajar lain
yang mengambil ujian yang sama.

Ujian Rujukan Kriteria
ialah ujian yang digunakan untuk membanding pencapaian
seseorang calon/pelajar dengan kriteria yang telah ditetapkan,
tanpa melibatkan perbandingan antara calon/pelajar.

Penilaian Formatif
ialah penilaian yang dibuat secara berterusan, iaitu sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran, untuk menilai
keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi
setiap tajuk yang diajar.

Penilaian Sumatif
ialah penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran (akhir penggal/
akhir tahun persekolahan), yang bertujuan untuk menilai
pencapaian akhir pelajar.



UJIAN 1
1. Jelaskan apakah ujian bakat dan tujuannya.
2. Adakah ujian kecerdasan boleh dianggap sebagai ujian sumatif? Berikan sebabnya.
3. Berikan beberapa keadaan yang boleh menyebabkan penilain potfolio tidak sah.


UJIAN 2
1. Jelaskan maksud ujian formatif.
2. Berikan beberapa tujuan ujian ini.
3. Pilih satu tujuan ujian ini dan jelaskan prosedur membina soalannya.

No comments:

Post a Comment