Kuala Lumpur: Program Asas Vokasional (PAV) khusus untuk pelajar
Tingkatan Satu yang mendapat keputusan kurang cemerlang dalam Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dilaksana sepenuhnya mulai 2014,
membabitkan 4,500 pelajar.
Ia lanjutan kejayaan projek rintis
PAV di 15 sekolah terpilih bermula awal tahun ini yang mendapat sambutan
menggalakkan ibu bapa, termasuk pelajar berminat menyambung sesi
persekolahan dalam bidang vokasional.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata
usaha sedang dilakukan untuk memperlengkapkan kemudahan prasarana
seperti kelas dan alat pembelajaran supaya perluasan ke 150 sekolah
dapat dilaksana.
Usaha sedang dilakukan untuk memperlengkapkan
kemudahan prasarana seperti kelas dan alat pembelajaran supaya perluasan
ke 150 sekolah dapat dilaksana”. - Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri
Pelajaran
Kurang tenaga pengajar Katanya, kementerian juga
sedang membuat permohonan bagi mendapatkan tenaga pengajar yang masih
kurang, khususnya bagi mengajar PAV.
“Tahun ini Kementerian
Pelajaran Malaysia membelanjakan kira-kira RM29 juta untuk menambah alat
dan kelengkapan di 150 sekolah, manakala tambah ruang dilaksanakan
tahun depan.
“Dari segi pemilihan pelajar, ketika ini kita
utamakan pelajar yang amat memerlukan iaitu kurang baik pencapaian dalam
akademik supaya mereka boleh tumpu kepada bidang kemahiran,” katanya
kepada BH, semalam.
Program PAV yang dirangka khusus untuk pelajar menengah
rendah berusia 13 hingga 15 tahun antara lainnya bertujuan melahirkan
tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Pelajar di Tingkatan Satu akan diajar enam bidang asas vokasional
antaranya kejuruteraan, pertanian dan ekonomi rumah tangga, manakala
pengkhususan dalam 20 bidang pilihan boleh dibuat apabila berada di
Tingkatan Dua.
Melalui PAV juga, pelajar ditawarkan Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua apabila menamatkan pembelajaran
Tingkatan Tiga sebelum boleh memilih sama ada mahu ke alam kerjaya atau
menyambung pengajian di Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian (ILP)
atau Kolej Vokasional.
sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PAVdiperluaske150sekolahmulai2014/Article/index_html