KEBIMBANGAN
(ANXIETY)
Menurut Wann (1997), kebimbangan ialah sesuatu yang
negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada
tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di
persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang
mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan.
Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit
maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika.
Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk
kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka
sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang
yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan
kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan
sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala
kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari
persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada
waktu itu (Shaharudin 2001).
JENIS-JENIS KEBIMBANGAN
1.
Kebimbangan Seketika (State Anxiety)
Kebimbangan seketika adalah tahap kebimbangan
semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk
tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan
khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.
2.
Kebimbangan Tret (Trait Anxiety)
Kebimbangan tret merujuk kepada ciri-ciri
personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka
sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi
tahap kebimbangan mereka.
3.
Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety)
Kebimbangan kognitif merupakan proses mental yang
bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi
semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut terhadap
kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).
4.
Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety)
Kebimbangan somatik pula merujuk kepada aspek
fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif
yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar
degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan
individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada
prestasi individu.
PUNCA-PUNCA KEBIMBANGAN
Selain mempersembahkan cabaran dan rangsangan, pada
masa yang sama sukan juga membangkitkan ketidaktentuan. Pada saat seorang
pemanah melepaskan anak panah daripada busurnya, seorang pemain bola sepak
sedang menyepak bola pada kedudukan penalty dan seorang pemain badminton ingin
melakukan pukulan deras (smash) pada kedudukan mata akhir, hasil
daripada perlakuan tersebut belum diketahui. Tekanan dalam sukan adalah menjadi
perkaitan yang tidak dielakkan berlakunya sifat ketidakpastian.
Tekan dan ketidakpastian boleh memotivasikan
sebahagian atlit kita, sebaliknya akan meningkatkan kebimbangan pada yang lain.
Terdapat beberapa beberapa faktor yang jelas meningkatkan tahap kebimbangan.
Sebagai contoh, semakin penting sesuatu pertandingan, semakin tinggi tekan dan
seseorang akan mudah menjadi bimbang.
Seorang
individu yang berdarah gemuruh secara semula jadi mempunyai ciri-ciri mudah
tertekan serta mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi. Justeru itu, segala
tindak balas atau respons yang diambil terhadap situasi di persekitaran akan
meningkatkan lagi kadar kebimbangan kerana tindakan mereka kini telah
dipengaruhi oleh kebimbangan berasaskan situasi.
Menurut
Endler (1978, 1983), terdapat lima faktor mengakibatkan tahap kebimbangan
meningkat dalam suatu situasi yang teruja.
1. Seseorang atlit
akan menjadi takut menerima kekalahan daripada lawan yang lemah yang boleh
mengugat ego atlit tersebut.
2. Bimbang tentang
penilaian yang negatif diterima daripada sosial atau ribuan penonton yang
mengancam harga diri seseorang.
3. Bimbang akan
ancaman fizikal daripada pihak lawan. Contoh permain bola lisut, dimana
seseorang pemukul akan berasa bimbang terkena balingan yang deras daripada pitcher
yang boleh mencederakannya.
4. Seseorang atlit
berada dalam situasi kesamaran atau serba salah untuk memulakan perlawanan,
persediaan atlit sama ada hendak mula atau tidak kekadang boleh menimbulkan
tekanan dan kebimbangan.
5. Seseorang atlit
terganggu konsentrasi apabila diarah untuk menukar cara yang telah diamalkan
dalam latihan kepada cara yang tidak pernah dilakukan dalam latihan semasa
pertandingan.
MENGUKUR
KEBIMBANGAN
Menurut
Richard H. Cox (1998, 2007.6th ed) Anshell (1997) dan Wann (1997),
cara yang paling popular untuk mengukur kebimbangan dengan menggunakan borang
soal selidik. Cara ini mudah ditadbirkan kerana responden cuma perlu menjawab
soalan yang berkaitan dalam inventori yang disediakan. Cara ini memungkinkan
penyelidik mendapatkan bilangan responden yang ramai dalam kajiannya serta amat
praktikal dari sudut psikologi sukan gunaan.
Di
samping itu terdapat juga cara lain yang lebih berkesan untuk mendapatkan
maklumat tentang tahap kebimbangan seseorang individu. Antara cara yang boleh
digunakan adalah dengan pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku serta
perubahan fisiologikal individu. Pemerhatian yang teliti terhadap perubahan
tingkah laku seperti perubahan corak pernafasan, tangan berpeluh, sering kali
membasahkan bibir yang kering serta tanda-tanda keresahan yang lain boleh
dikaitkan dengan perlakuan yang berkaitan dengan peningkatan tahap kebimbangan.
Kaedah ini telah digunakan oleh Lowe (1973) dalam kajiannya ke atas pemukul
dalam sukan besbol peringkat rendah.
Perubahan
dari segi fisiologikal juga boleh diukur serta dikaitkan sebagai tanda-tanda
kebimbangan. Peningkatan kadar nadi, perubahan tekanan darah serta tekanan pada
otot merupakan tanda-tanda fisiologikal yang dikaitkan dengan kebimbangan.
Kemampuan untuk mengukur kebimbangan dari sudut fisiologikal buat masa ini agak
terhad kerana kesukaran menggunakan alatan untuk tujuan ini. Bagaimanapun
dengan perkembangan pesat dalam dunia sains, penggunaan alat telemetri secara
lebih meluas dalam masa yang terdekat ini akan memungkinkan kita menggunakan
kaedah ini untuk mengukur kebimbangan.
Landers
(1980) mengutarakan pandangan agar pengukuran dari sudut psikologikal dan
fisiologikal digunakan untuk mengukur kebimbangan. Bagaimanapun menurut
Karteroliotis dan Gill (1987) perkaitan antara aspek psikologikal dan
fisiologikal dalam mengukur kebimbangan seketika adalah rendah. Justeru itu, ia
bukanlah satu cara yang sesuai untuk mengukur kebimbangan seketika. Kemungkinan
besar, pengu-kuran serentak aspek psikologikal dan fisiologikal untuk mengukur
kebimbangan seketika akan memberikan maklumat yang bercanggah.
Gagasan
Endler (1978) tentang lima faktor atau dimensi yang berkait rapat dengan
kebimbangan menjelaskan tentang sifat multidimensi kebimbangan itu sendiri.
Justeru itu, kebimbangan perlu dilihat dari dimensi yang pelbagai dan bukannya
secara unidimensi. Kajian yang telah dilakukan oleh Fisher dan Zwart (1982)
serta Gould, Horn dan Spreeman (1983) menyokong sifat multidimensi kebimbangan.
Mengukur
Sifat Multidimensi Kebimbangan
Penerimaan
konsep multidimensi kebimbangan telah melahirkan beberapa inventori (soal
selidik) yang cuba untuk melihat dan mengukur kebimbangan dari sudut ini.
Antara yang terkenal adalah Competitive State Anxiety Inventory-2
(CSAI-2) yang dihasilkan oleh Martens, Vealey dan Burton (1990). CSAI-2
mengukur kebimbangan kognitif seketika (cognitive state anxiety) dan
kebimbangan somatik seketika (somatic state anxiety).
Dalam
konteks sukan, kebimbangan sebenarnya wujud sebelum sesuatu pertandingan itu bermula. la dikenali
sebagai kebimbangan pra pertandingan (Cox, 1998). CSAI-2 membantu kita menilai
tahap ke-bimbangan atlit pada tahap prapertandingan ini. Hasilnya, kini kita
memahami bahawa terdapat perubahan dari segi tahap kebimbangan para pemain
sebelum serta beberapa ketika semasa sesuatu pertandingan bermula.
Berdasarkan
kajian, kebimbangan kognitif prapertandingan lazimnya bermula tinggi dan
berterusan tinggi sehingga beberapa minit sebelum pertandingan bermula.
Kebimbangan somatik pula bermula rendah sehingga kira-kira 24 jam sebelum
sesuatu pertandingan bermula (lihat Rajah 1). Pada tahap ini, kebimbangan
somatik akan terus meningkat sehingga hampir pada waktu pertandingan.
Bagaimanapun, selepas beberapa minit perlawanan berlangsung, kebimbangan
somatik akan menurun manakala kebimbangan kognitif akan sentiasa turun naik,
bergantung kepada kedudukan semasa sepanjang tempoh permainan.
Perbezaan
Kesan Kebimbangan Somatik dan Kebimbangan Kognitif ke atas Prestasi
Bagi
memudahkan kefahaman tentang perkaitan di antara kebimbangan seketika
kompetitif dan kaitannya dengan prestasi, kita perlu melihat serta mengukur
dimensi kebimbangan seketika individu. Contohnya, perkaitan di antara
kebimbangan kognitif seketika dan prestasi sukan adalah dalam bentuk linear
(Burton, 1988; Gould, Petlichkoff, Simons dan Vevera, 1987), manakala perkaitan
di antara kebimbangan somatik seketika dan prestasi pula dalam bentuk
U-Terbalik (Cox, 1998).
No comments:
Post a Comment