" Gantunglah azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Friday, January 3, 2014

ISU DAN PERMASALAHAN P&P PJ DI SEKOLAH

Permasalahan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran PJ di Sekolah

Pengenalan

Istilah ‘pendidikan jasmani’ (PJ) digunakan secara implisit sejak zaman primitif lagi (Wee Eng Hoe, 1994: m.s. 1). Namun begitu dalam konteks Malaysia, kemungkinan istilah ini mula diperkenalkan oleh orang British di zaman pemerintahan British di Tanah Melayu. Walaupun sekian lama istilah pendidikan jasmani digunakan, persoalan tentang pengertiannya masih lagi wujud dimana pendidikan jasmani ini keseluruhannya dianggap sebagai sukan dan sesi pendidikan jasmani banyak membawa pengertian sukan.

Mungkin ini disebabkan kurikulum pendidikan jasmani terdiri daripada sukan ataupun kurikulum pendidikan jasmani pada asasnya lebih mementingkan sukan. Menurut Armstrong (1990), konsep pendidikan jasmani dan sukan adalah berbeza. Sebagai contoh ialah pendidikan jasmani adalah melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, manakala sukan hanyalah berbentuk rekreasi. Pendidikan jasmani biasanya dikendalikan oleh guru manakala sukan dikendalikan oleh jurulatih yang mahir bagi sukan tertentu. Pendidikan jasmani lebih berpusatkan pelajar dan pembangunan diri pelajar, namun sukan lebih berpusatkan sukan dan pembangunan bidang sukan tersebut.

Pendidikan jasmani perlu mencapai objektif dari tiga aspek iaitu psikomotor, kognitif dan afektif. Ini berbeza dengan subjek-subjek akademik lain yang hanya mempunyai domain kognitif dan afektif untuk dicapai (Julismah Jani, 2007).




Akauntabiliti akademik dalam pendidikan jasmani


 
Kebanyakan golongan pendidik memberi persepsi yang negatif terhadap subjek pendidikan jasmani. Kebanyakan pendidik mengangap pendidikan jasmani sebagai subjek main-main dan hanya berbentuk ko-kurikulum yang tidak berbentuk akademik. Maka pendidikan jasmani tidak diajar dengan betul sebagaimana yang dibincangkan dalam teori menyebabkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi subjek ini tidak mencapai objektifnya.

Lebih malang ada sesetengah sekolah tidak melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan jasmani kerana beranggapan subjek ini tidak bersifat akademik dan tidak penting dalam peperiksaan. Maka pihak pengurusan sekolah tidak mengambil berat terhadap pelaksanaan subjek pendidikan jasmani di sekolah dan menganggap semua guru mampu mengajarnya.

Apabila guru yang tidak berkemahiran dalam subjek pendidikan jasmani mengajar pendidikan jasmani di sekolah, kesan yang buruk akan terhasil. Sebagai contoh ialah kegagalan pencapaian matlamat dalam pendidikan jasmani di sekolah iaitu pertumbuhan otot-saraf, pertumbuhan organan, pertumbuhan sosial dan emosi dan meningkatkan pengamatan dan persefahaman dikalangan pelajar.

Oleh itu bagi mengatasi masalah ini, jurang akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani dengan subjek-subjek akademik lain mesti dikurangkan. Diantara strategi untuk meningkatkan akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani ialah mesti melaksanakan proses pengajaran dan pendidikan yang betul oleh guru yang berkelayakan.

Subjek pendidikan jasmani juga perlu mempunyai proses penilaian yang berterusan dari semua aspek melalui peperiksaan dan kad kemajuan pelajar bagi mendapatkan keputusan yang baik. Semua pihak harus mengiktiraf subjek pendidikan jasmani ini sebagai subjek yang mempunyai akauntabiliti akademik sebagaimana subjek-subjek lain di sekolah yang mempunyai matlamat dan objektif tersendiri. Akhirnya guru pendidikan jasmani perlulah meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dengan betul dan tepat. 




Pengujian, pengukuran dan penilaian pendidikan jasmani 



Selain melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan jasmani, guru pendidikan jasmani juga perlu melaksanakan proses pengujian, pengukuran dan penilaian subjek pendidikan jasmani. Ianya sangat penting untuk memberi maklum balas terhadap pembelajaran pendidikan jasmani bagi membangunkan akauntabiliti akademik pendidikan jasmani. Diantara kepentingan penilaian ialah dapat memotivasikan pelajar untuk terus belajar. Menurut Veal (1991), bagi memotivasikan pelajar belajar, guru mestilah menghargai nilai aktiviti tersebut dan memastikan pelajar dapat mencapai dan mampu berjaya jika mereka mencurahkan usaha yang setimpal.

Sebagai tenaga pengajar, guru Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan perlu memiliki kemahiran dan pengetahuan serta memahami prosedur untuk melakukan sesuatu pengujian, pengukuran dan penilaian. Pengujian, pengukuran dan penilaian ini adalah merupakan cara untuk mengesan sama ada matlamat dan objektif telah tercapai atau tidak. Hasil daripada maklumat ini dapat membentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.

Masalah perbezaan penggredan berlaku dalam Pendidikan Jasmani yang mana pengukuran tidak dapat mewujudkan penghasilan kebolehan prestasi sebenar pelajar. Penggredan seharusnya melihat kepada kemampuan dalam melakukan kemahiran yang dilatih. Oleh itu, pelajar harus diberi peluang untuk menyertai pelbagai jenis aktiviti fizikal serta masa yang mencukupi untuk berlatih kemahiran, seterusnya mencapai gred yang lebih baik.

Penekanan betapa pentingnya hubungan antara penilaian dan pengajaran dan ketepatan sesuatu penilaian yang dibuat akan memberi kesan yang besar terhadap pengalaman pengajaran yang dialami pelajar.

Tujuan asal pengajaran adalah untuk membantu dan menolong para pelajar memperolehi pelajaran yang diinginkan dari segi domain kognitif, afektif dan psikomotor dan untuk mencapai matlamat penilaian ianya hendaklah dilakukan dengan sistematik bagi mengangarkan sejauh mana objektif intruksional yang dicapai oleh para pelajar.

Tumpuan terhadap akauntabiliti yang semakin meningkat  telah membentuk suatu keperluan untuk pengukuran dan penilaian. Keperluan ini telah dirasa pada setiap tahap di segenap penjuru pendidikan dan Pendidikan Jasmani juga tidak terkecuali.

Setiap guru perlulah bijak menguji kemahiran yang dikehendaki kerana guru merupakan penguji yang layak kerana mereka tahu tentang prestasi pelajarnya berbanding penguji luar atau ujian yang serupa. Masalah utama yang dihadapi oleh guru pendidikan jasmani ialah untuk membuat pemarkahan (grading) terhadap pendidikan jasmani kerana tiada prosedur dan kaedah yang jelas untuk melaksanakannya.

            Pendidik pendidikan jasmani dapat menguji kemampuan motivasi pelajar dalam penggredan dengan kaedah berikut:
1)      Menggunakan penilaian rujukan criteria berdasarkan pencapaian dan objektif yang jelas seperti yang dinyatakan dalam buku rujukan pendidikan jasmani
2)      Elakkan penilaian rujukan norma walaupun ia dapat membantu guru menilai kemampuan murid, ia selalu di salah gunakan. Ia boleh melemahkan pelajar yang lembab dan menjadikan sukan untuk menentukan samada murid telah menguasai kemahiran asas.
3)      Elakkan penggredan lulus–gagal atau kredit dan tidak kredit. Sistem ini kadangkala menyebabkan pencapaian yang rendah dan kehendak untuk melakukan yang terbaik tidak sama berbanding pelajaran lain. Ia juga menggalakkan sikap yang negatif terhadap pendidikan jasmani.
Terdapat beberapa perinsip yang perlu dipatuhi dalam penggredan. Diantaranya ialah gred yang diberikan mestilah berkait terus dengan objektif pengajaran dan pembelajaran, mempunyai kesahan, kebolehpercayaan dan objektiviti yang tinggi. Kaedah pemberatan perlulah digunakan bagi setiap unit pengajaran agar tumpuan dapat diberikan dengan tepat. Kaedah penggredan juga perlulah mudah ditadbir dan mudah difahami oleh semua pihak termasuklah guru, pelajar dan keluarga pelajar. Seterusnya gred yang diberikan harus dapat membezakan pencapaian pelajar yang baik dan lemah.

Walaupun penyelidik kajian lampau berjaya menghasilkan bateri ujian kecergasan motor, tetapi hasil kajian mereka masih kurang digunakan oleh guru Pendidikan Jasmani bagi mengukur kecergasan motor pelajar. Adalah terlalu sukar bagi guru Pendidikan Jasmani untuk menggunakan bateri ujian tersebut. Ini terutamanya kerana kebanyakan ujian yang terdapat dalam bateri ujian tersebut tidak dinyatakan prosedur ujian yang lengkap dan piawai.

Kandungan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Buku Panduan Guru Pendidikan Jasmani hanya menyatakan jenis ujian kecergasan motor yang mesti dijalankan tetapi tidak menyediakan prosedur menjalankan ujian. Tanpa prosedur ujian yang piawai, guru Pendidikan Jasmani tidak dapat menjalankan ujian dengan berkesan.

Keseluruhannya, penilaian yang berkaitan dengan prestasi kecergasan motor pelajar dapat dijalankan dengan lebih berkesan setelah guru Pendidikan Jasmani memahami tujuan sebenar pengujian dan pengukuran ujian kecergasan motor. Guru Pendidikan Jasmani juga perlu benar‑benar mengetahui semua perinsip‑prinsip pengujian dan pengukuran sebelum menjalankan ujian kecergasan motor. Kegagalan guru menguasai prosedur menjalankan ujian kecergasan motor akan menjejaskan kesahan dan kebolehpercayaan ujian. Kesan daripada kegagalan menggunakan prosedur ujian yang tepat menyebabkan data yang diperoleh adalah meragukan. Sebarang bentuk penilaian yang dibuat oleh guru berdasarkan keputusan ujian yang meragukan akan menjejaskan prestasi kecergasan motor pelajar.

Setiap perubahan perlu dalam konteks meningkatkan prestasi pelajar dalam sukan supaya bakatnya itu dapat di gilap bagi menentukan hala tujunya dalam bidang sukan. Sekiranya tiada pembaharuan dalam pengukuran penilaian prestasi pelajar, hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara untuk melahirkan bakat-bakat dalam arena sukan mungkin tidak kesampaian. Oleh itu perlulah di perbaiki dari peringkat bawahan terutama di sekolah dalam memberikan pengukuran yang bermakna dalam mengenal pasti pelajar-pelajar yang berbakat dalam pendidikan jasmani khususnya dan sukan secara amnya. Sekiranya perkara ini dititikberatkan nescaya prestasi sukan di negara ini dapat ditingkatkan sebaik mungkin.

Menurut Larry (1990), ruang antara teori dan praktis seharusnya dikurangkan dengan memberi penumpuan utama terhadap teknik yang mudah, efesyen dan boleh digunakan secara meluas dan ramai, tapi mengekalkan tahap kebolehpercayaan, kesahan dan keobjektifan yang boleh diterima.

Sesungguhnya secara jelas, yang cara pengajaran serta penilaian yang sistematik amat diperlukan khususnya dalam konteks Pendidikan Jasmani di Malaysia. Apa yang berlaku kini, pengukuran dan penilaian kurang diberi keutamaan di kalangan guru Pendidikan Jasmani. Salah satu sebab utamanya adalah dikaitkan dengan masalah masa pengurusan. Contohnya, Pendidikan Jasmani hanya dijalankan selama 50 minit seminggu. Ini mendatangkan masalah kepada guru untuk merekod, menganalisis dan melaporkan keputusan ujian dengan sistematik dan berkesan. Disamping itu juga guru-guru kekurangan pengetahuan tentang cara dan teknik penilaian yang sistematik.

Kini, menjadi tanggungjawab Kementerian dan Jabatan Pendidikan untuk memastikan perlaksanaan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan/Sains Sukan secara sistematik dapat dilakukan oleh guru-guru di sekolah. 





Bahaya dalam pendidikan jasmani 



Sebagaimana yang diketahui, pendidikan jasmani melibatkan aktiviti fizikal dikalangan pelajar dan lebih berisiko berlakunya kecederaan jika guru gagal untuk mengambil langkah keselamatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Kefahaman berkenaan keselamatan dalam pendidikan jasmani amat penting bagi mencegah berlakunya kecederaan terhadap murid melalui cara pengajaran atau latihan yang lebih baik (Wee Eng Hoe, 1994: m.s. 89). Ia juga dapat melindungi pihak sekolah daripada tindakan undang-undang yang tidak perlu akibat kecederaan yang ringan.
           
            Pengawasan yang cekap merupakan tanggungjawab setiap guru pendiidkan jamani. Mereka bukan sahaja dijangka cekap dalam setiap aktiviti yang dikendalikannya, malah mereka diharap berkeupayaan untuk mengawasi murid dalam tempoh pengajaran dan pembelajaran.

            Setiap guru pendidikan jasmani seharusnya mempunyai panduan am yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Kecederaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani sering berlaku disebabkan guru tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai aktiviti yang dijalankan ditambah pula kegagalan merancang pengajaran dan latihan dengan berhati-hati. Oleh itu guru seharusnya menetapkan dan menerangkan peraturan keselamatan untuk kemudahan pendidikan jasmani kepada pelajar sebelum melakukan akitiviti. Guru juga seharusnya mempunyai rancangan pengajaran atau program latihan yang teliti meliputi:
1)      Menolong pelajar peka terhadap kemalangan yang mungkin berlaku,
2)      Perancangan dan pengetahuan tentang bahan yang diajar,
3)      Pengetahuan tentang tahap kebolehan pelajar atau pelatih.

Semasa mengajar, guru juga seharusnya tidak meninggalkan kelas atau tempat aktiviti dijalankan tanpa pengawasan disebabkan masalah peribadi seperti ingin mendengar telefon, menjaga anak di tepi gelanggang atau bercakap dengan orang lain. Guru pendidikan jasmani mestilah memakai pakaian yang sesuai dan sentiasa bersama pelajar semasa aktiviti fizikal berjalan.

Terdapat sebahagian guru yang mengajar pendidikan jasmani tidak memakai pakaian yang sesuai dan hanya membiarkan pelajar bermain dipadang tanpa pengawasan yang rapi. Pelajar yang berada di bawah pengawasan guru pendidikan jasmani seharusnya sentiasa boleh dilihat agar dapat diawasi. Guru juga tidak boleh membiarkan pelajar menggunakan kemudahan pendidikan jasmani tanpa pengawasan guru pendidikan jasmani. Seperti contoh ialah penggunaan bilik kecergasan atau gimnasium seharusnya ada seorang penjaga yang dapat mengawasi perjalanan aktiviti pelajar. Dalam keadaan yang tiada pengawasan, tempat-tempat sebegitu seharusnya dikunci.

Namun terdapat pentadbir sekolah yang meletakkan guru tidak berkelayakan dan berkebolehan untuk mengendalikan kelas pendidikan jasmani. Ini telah meningkatkan lagi risiko berlakunya kecederaan akibat kekurangan pengetahuan dan kefahaman guru tersebut untuk mengendalikan kelas pendiidkan jasmani. Oleh itu, guru yang ditugaskan untuk mengajar pendidikan jasmani tetapi kurang berbolehan seharusnya memberitahu pihak pentadbir tentang tahap kebolehannya. Guru pendidikan jasmani seharusnya mengambil langkah-langkah tertentu untuk mempertingkatkan kebolehan diri kerana guru tidak seharusnya mengajar aktiviti tanpa pengetahuan yang mencukupi.
           
            Langkah-langkah keselamatan perlu diambil bagi mencegah kemalangan semasa sesi pendidikan jasmani. Bagi aktiviti yang melibatkan penggunaan alatan sukan, guru harus memastikan peralatan sukan yang digunakan adalah sentiasa selamat. Alat-alat pencegah kemalangan mesti diwajibkan kepada pelajar seperti pelindung muka untuk penjaga gol hoki dan mesti sentiasa dalam keadaan yang baik. Pelajar diwajibkan untuk memakai pelindung dalam apa-apa keadaan sekali pun. Sebagai contoh yang lain ialah pelajar mesti memakai shin-guard dalam hoki dan penjaga lutut dalm bola tampar.

            Bagi aktiviti tertentu, pelajar tidak dibenarkan melakukannya secara bersendirian dan perlu kepada pembantu atau penyokong. Seperti aktiviti gimnastik dalam pendidikan jasmani dan aktiviti angkat berat atau latihan beban mesti menggunakan penyokong untuk membantu pelajar melakukan aktiviti. Guru boleh mengajar palajar cara menyokong dan setiap pelajar mesti diajar untuk berbuat demikian. Jika perlindungan atau langkah keselamatan gagal disediakan, aktiviti perlulah diubahsuai mengikut kreativiti guru agar lebih selamat.

            Bagi setiap pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani, guru harus bijak memilih aktiviti kepada pelajar. Risiko kecederaan dalam pendidikan jasmani akan meningkat jika guru gagal memilih aktviti yang sesuai dengan pelajar berdasarkan umur, saiz dan tahap keupayaan atau kemahiran pelajar. Aktiviti mestilah dirancang dengan rapi dan mengikut perinsip-perinsip ansur maju. Arahan yang diberi mestilah jelas terutamanya bagi aktiviti yang baru diperkenalkan untuk mengelakkan kesilapan yang mungkin mendatangkan kecederaan. Guru mesti memastikan semua pelajar memahami dengan jelas setiap arahan yang diberikan sebelum memulakan aktiviti fizikal.

            Aktiviti ysng dipilih mestilah sejajar dengan kebolehan pelajar. Pemilihan aktiviti yang sesuai amat penting untuk mengekalkan motivasi pelajar untuk belajar dan memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani tercapai. Guru tidak boleh memaksa pelajar melakukan aktiviti diluar kemampuan atau keinginan pelajar tersebut seperti pelajar dengan kaki yang sakit tidak boleh dipaksa untuk melompat.

            Aktiviti yang dipilih mestilah mengambil kira perbezaan kebolehan pelajar dan menyediakan program yang berperingkat demi mementingkan ciri-ciri individualistik pelajar. Pelajar yang berkebolehan rendah mestilah melakukan aktiviti yang mengikut tahap kebolehannya.
           
Dougherty (1981) melaporkan bahawa kecederaan yang melibatkan aktiviti sukan berbentuk sentuhan mencapai tahap 50% dan aktiviti sukan tanpa sentuhan sebanyak 10% daripada jumlah kos kecederaan yang telah dilaporkan secara rasmi. Dalam usaha mengurangkan kecederaan, langkah pencegahan seharusnya diwujudkan dalam program pendidikan jasmani.
            Menurut Gray (1991), proses pengurusan bahaya dilaksanakan mengikut langkah-langkah berikut:
1)      Mengenal pasti bahaya yang berkaitan dengan sukan dan aktiviti fizikal.
2)      Menilai bahaya untuk menentukan kebarangkalian berlakunya dan ketenatannya jika bahaya berlaku.
3)      Memilih kaedah yang sesuai untuk menguruskan setiap bahaya termasuk pengankutan, pengelakan, pengurangan dan pengekalan.
4)      Melaksanakan prosedur pentadbiran yang sesuai untuk menggerakkan pelan pengurusan bahaya.

Apabila seseorang pelajar tercedera semasa aktiviti pendidikan jasmani, adalah penting untuk guru mendokumentasikan secara terperinci kecederaan yang berlaku itu. Laporan kecederaan itu akan menjadi rujukan doktor dan mahkamah jika kes itu menjadi kes mahkamah. Ia juga menolong kita mengenalpastikan dan menghapuskan faktor-faktor yang menyebabkan kecederaan tetapi boleh dicegah.

Dalam kes serius yang memerlukan pelajar dihantar ke hospital, kemudahan ambulan, kenderaan sekolah dan kenderaan sendiri hendaklah digunakan. Semasa menggerakkan pelajar yang tercedera, perhatian diberi supaya tidak menambahkan ketenatan pelajar. 



No comments:

Post a Comment